Sunday, August 30, 2009

Bahasa Jiwa Bangsa..=)







Krisis 13 Mei Bakal Berulang Berikutan Isu Bahasa Malaysia?
Uthaya Sankar SB

Saya secara peribadi sedar dan mengakui betapa Bahasa Malaysia mampu dan berjaya mewujudkan semangat kekitaan di kalangan rakyat Malaysia. Generasi muda, khususnya, sudah sedia menerima Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik bersama tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan keturunan.

Dalam hal ini, keputusan yang dibuat pada tahun 1970 berhubung istilah "Bahasa Malaysia" terbukti adalah langkah bijak dan berkesan dalam melahirkan rakyat Malaysia yang berjiwa Malaysia.

Sejarah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah digunakan di Kepulauan Melayu sejak abad ketujuh. Terdapat lebih 200 bahasa di Kepulauan Melayu pada waktu itu. Namun, penggunaan Bahasa Melayu pada waktu itu amat meluas kerana mudah dipertuturkan. Maka Bahasa Melayu menjadi lingua franca.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan pula jelas menyebut Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Perlu diingat bahawa pada waktu perlembagaan negara digubal, istilah "Malaysia" belum wujud. Apa yang wujud adalah Persekutuan Tanah Melayu.

Pada tahun 1961, Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman mencadangkan pembentukan "Malaysia" - dan cadangan itu menjadi realiti pada 16 September 1963 walaupun mendapat tentangan hebat daripada Indonesia dan Filipina.

Kisah pembentukan Malaysia adalah satu lagi kisah menarik. Tetapi di sini, saya lebih suka berbincang mengenai pembentukan "Bahasa Malaysia" dan "Bangsa Malaysia".

Pilihan raya 1969 menyaksikan pihak Perikatan menghadapinya dengan penuh yakin kerana percaya rakyat sudah bersatu. Bagaimanapun, rakyat Bukan Melayu pula ternyata kurang senang dengan kedudukan Bahasa Melayu.

Apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, perlembagaan menyatakan bahawa Bahasa Inggeris boleh digunakan bagi urusan rasmi selama 10 tahun; iaitu sehingga 1967. Jadi, menjelang tahun 1967, timbul soal kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa bagi Bangsa Malaysia.

Pilihan raya pada 12 Mei 1969 ternyata dihadapi oleh semua pihak dengan penuh emosi. Kedudukan politik dan bahasa/budaya penduduk Bukan Melayu menjadi topik hangat dalam kempen pilihan raya. Malah, rakyat Bukan Melayu mula mempersoalkan hak mereka dalam hal berkaitan politik, bahasa dan budaya kebangsaan.

Natijahnya, undi bagi Perikatan susut 10 peratus dan Perikatan menghadapi masalah mendapatkan majoriti dua per tiga di Dewan Rakyat. Sejarah membuktikan hal ini.

Penyokong Gerakan dan DAP pula dilaporkan meraikan "kemenangan" mereka dengan mengadakan 'pesta' di jalan-jalan raya di Kuala Lumpur. Penyokong UMNO turut mengadakan 'pesta' bagi meraikan kejayaan. Maka tercetuslah Krisis 13 Mei 1969 yang menjadi titik hitam dalam sejarah negara Malaysia yang berbangga dengan gambaran rakyat pelbagai kaum hidup bersatu-padu, harmoni dan saling memahami. Ramai terkorban dalam tragedi hitam itu; terutama kaum Cina.

Darurat diisytihar, perlembagaan digantung, parlimen dibubar, pilihan raya di Sabah dan Sarawak ditangguh, dan pemerintahan pusat dilaksanakan. Itulah antara langkah segera yang diambil kerajaan pada waktu itu. Segalanya pasti masih segar dalam ingatan sesiapa yang telah mengalaminya.

Krisis 13 Mei 1969 ternyata membawa perubahan drastik pada polisi kerajaan/pemerintah. Perpaduan nasional, tolerensi antara kaum, usaha menghapuskan jurang perkauman dan seumpamanya menjadi agenda utama rakyat dan kerajaan. Semua pihak tiba-tiba sedar bahawa perbezaan sosial dan ekonomi memang wujud di kalangan rakyat dan menjadi masalah utama rakyat Malaysia pada waktu itu.

Lalu, pada 31 Ogos 1970, Rukun Negara dan Rukun Tetangga diperkenalkan. Pada tahun 1970 juga, Dasar Pelajaran Kebangsaan dilaksanakan di mana "Bahasa Melayu" yang menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan mula dikenali sebagai "Bahasa Malaysia".

Minggu Bahasa dan Bulan Bahasa diadakan dengan cogan kata "Bahasa Jiwa Bangsa" - di mana pasti sahaja "Bahasa" merujuk pada "Bahasa Malaysia" dan "Bangsa" merujuk pada "Bangsa Malaysia". Masakan pula cogan kata "Bahasa Jiwa Bangsa" ini membawa makna "Bahasa Melayu Jiwa Bangsa Melayu"!

Pada September 1970, Tunku Abdul Rahman diganti Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia. Polisi Pelajaran di bawah Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975) dilaksanakan, antara lain, bagi mempercepatkan usaha murni kerajaan dan rakyat Malaysia menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di semua sekolah.

Kempen "Cintai Bahasa Kita", "Bahasa Jiwa Bangsa", "Bahasa Menunjukkan Bangsa" dan yang seumpamanya dipergiatkan oleh kerajaan, badan-badan tertentu serta agensi kerajaan dan swasta. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga mengadakan pelbagai acara sastera dan bahasa untuk menanam perasaan cinta rakyat pelbagai kaum terhadap Bahasa Malaysia.

Pada tahun 1990, Bahasa Malaysia mula digunakan di mahkamah. Memang agak pelik jika kita berpeluang mendengar perbicaraan kes di mahkamah menggunakan Bahasa Malaysia tetapi adalah satu kejayaan mendaulatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar utama.

Generasi yang lahir pada tahun 70-an, 80-an dan 90-an terbukti fasih dan menganggap Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik bersama setiap rakyat Malaysia. Mereka sedar bahawa Bahasa Malaysia bukan milik kaum Melayu sahaja. Kaum Bukan Melayu di Malaysia terbukti mampu berinteraksi menggunakan Bahasa Malaysia yang betul dan lancar.

Ironinya, sekumpulan kaum Melayu pula kini lebih suka menggunakan Bahasa Malaysia yang tidak betul. Misalnya: "Husband I drebar mini bas" di mana frasa ini bukan Bahasa Inggeris dan bukan juga Bahasa Malaysia!

Walau bagaimanapun, apa yang lebih penting, istilah "Bahasa Malaysia" yang diperkenalkan pada tahun 1970 berikutan Krisis 13 Mei 1969 terbukti sudah berjaya membina "Bangsa Malaysia" sebagaimana yang diimpikan.

Pembinaan "Bangsa Malaysia" bermula dengan "Bahasa Malaysia". Demikian saya tegaskan pada Forum Bahasa Kebangsaan & Bangsa Malaysia di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 8 Jun 2002. Kalau pada tahun 1967 wujud perasaan tidak suka terhadap "Bahasa Melayu", kini rata-rata rakyat mencintai "Bahasa Malaysia".

Malah kini terdapat ramai penulis pelbagai kaum yang menghasilkan karya sastera Bahasa Malaysia. Golongan penulis/sasterawan ini mempunyai bakat penulisan serta menguasai Bahasa Malaysia. Mereka juga berjiwa Malaysia. Jadi, lahirlah karya sastera berjiwa Malaysia yang menampilkan citra budaya masyarakat pelbagai kaum - dalam Bahasa Malaysia yang bermutu. Maka penulis pelbagai kaum, karya sastera dan Bahasa Malaysia mula seiring memupuk semangat dan jiwa "Bangsa Malaysia" di kalangan rakyat negara ini.

Walau bagaimanapun, pada 1998, tiba-tiba sahaja mula ada usaha menafikan kewujudan dan kesahihan istilah "Bahasa Malaysia" - dan kononnya hanya istilah "Bahasa Melayu" sah digunakan di negara ini. Isu ini dimulakan oleh seorang editor di sebuah penerbitan terkemuka tanah air sewaktu saya menyelenggara antologi cerpen Bahasa Malaysia oleh penulis kaum India.

Apa yang menghairankan, penerbit terbabit menafikan kewujudan serta kesahihan istilah "Bahasa Malaysia" tetapi masih terus menerbitkan buku-buku "Bahasa Malaysia Tahun Satu-Tingkatan Lima" untuk kegunaan sekolah kerajaan. Nampaknya wujud hipokrasi dalam penerbitan berkenaan berhubung penggunaan istilah "Bahasa Malaysia".

Walau apa sekalipun tindakan pihak berkenaan sejak tahun 1998, Bahasa Malaysia sudah terbukti dapat menyumbang ke arah usaha murni membina Bangsa Malaysia. Kerajaan juga memperakukan kesahihan penggunaan istilah "Bahasa Malaysia" apabila merujuk pada bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini.

Walau bagaimanapun, kalau kewujudan istilah "Bahasa Malaysia" cuba dinafikan oleh mana-mana pihak, nescaya Konflik 13 Mei 1969 akan berulang - dan golongan berjiwa Malaysia seperti saya dan para sasterawan tidak akan dapat berbuat apa-apa untuk mengembalikan semangat kebangsaan dan perpaduan nasional.

Saya katakan demikian kerana istilah "Bahasa Malaysia" itu sendiri dikatakan tidak wujud dan tidak sah digunakan. Lalu, bagaimana boleh "Bahasa Malaysia" yang tidak wujud itu hadir untuk menyatukan rakyat?

Sejak tahun 1970, "Bahasa Malaysia" terbukti berjaya membuka laluan ke arah perpaduan nasional tetapi "Bahasa Malaysia" tidak akan dapat meneruskan usaha itu sekiranya kewujudan istilah "Bahasa Malaysia" dinafikan oleh mana-mana pihak.

Bahasa menunjukkan bangsa. Bahasa jiwa bangsa. Hilang bahasa, hilanglah bangsa. Bahasa Malaysia menunjukkan Bangsa Malaysia. Bahasa Malaysia jiwa Bangsa Malaysia. Hilang Bahasa Malaysia, hilanglah Bangsa Malaysia.

No comments:

Post a Comment